Mengatur langkah Puteri selepas 100 hari. @emysamsudin

Tuesday, February 4, 2014








POSISI Ketua Puteri UMNO bukanlah jawatan sebarangan. Jika tidak tabah menghadapi dugaan dan cabaran, jangan bermimpi mahu berada di kedudukan nombor satu sayap parti Melayu berpengaruh di Malaysia itu.

Ditambah pula dengan situasi semasa yang memperlihatkan ramai golongan belia termasuk
wanita muda lingkungan usia 18 ke 35 tahun semakin cenderung menyokong pembangkang. Jadi, cabaran sebagai Ketua Puteri memang besar.

Individu yang memegang jawatan itu perlu berhadapan dengan tanggapan negatif golongan muda hari ini kononnya apa yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya menindas rakyat dan tidak terlepas daripada rasuah.

Itulah senario dihadapi oleh Mas Ermieyati Samsudin sejak diangkat sebagai Ketua Puteri UMNO baharu pada pemilihan parti itu Oktober tahun lalu.

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu dipilih bagi menggantikan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Menjangkau 100 hari sebagai Ketua Puteri, Mas Ermieyati yang ramah orangnya mengakui masih banyak yang perlu dipelajarinya untuk membantu parti serta kerajaan BN terus kekal di hati rakyat khususnya golongan wanita muda.

Dalam satu pertemuan baru-baru ini, Mas Ermieyati mendedahkan perkara pertama dilakukannya setelah diangkat sebagai Ketua Puteri ialah mengumpulkan kesemua barisan exco pergerakan itu yang juga baru dipilih terdiri daripada hampir 75 peratus muka baharu.

Tujuannya merapatkan 'saf' pergerakan puteri itu sendiri.

Beliau sedar, selepas pemilihan pasti akan wujud sedikit perpecahan berikutan perbezaan pandangan, malah beliau maklum ada yang 'tidak menyokongnya'. Tetapi beliau positif mahu memacu pergerakan itu terus berkembang memainkan peranan penting kepada parti.

"Alhamdulillah, walaupun saya tahu ada yang mungkin kurang bersetuju dengan saya tetapi mereka menerimanya secara positif dan saya juga bersikap positif terhadap mereka kerana kami berada dalam satu saf kepimpinan sayap. Komitmen setiap ahli dituntut," ujarnya.

Antara langkah pertama yang diambil selepas menerajui sayap termuda itu adalah bertemu dengan semua Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri bagi membincangkan pemilihan barisan kepimpinan pergerakan puteri di peringat negeri. "Kami telah menjadi sayap paling awal menyelesaikan perkara itu," katanya.

Menurut Mas Ermieyati, tempoh 100 hari kepimpinannya sebagai Ketua Puteri UMNO adalah sangat singkat untuk dinilai dan beliau belum berupaya melaksanakan kesemua rancangan yang telah dirangka.

Lagipun beliau tidak mahu terburu-buru.

"Saya melihat dalam tempoh 100 hari ini, saya tidak dapat buat banyak, tetapi yang saya sedang lakukan ini ialah membina asas," katanya.

Sebab itu langkah pertama pergerakan itu adalah menjalankan program daftar pemilih.

"Kami cuba mendaftarkan sebanyak mungkin belia yang akan menjadi penyumbang besar undi pada pilihan raya umum akan datang dan dalam masa sama menambat hati mereka untuk bersama-sama Puteri UMNO menerusi pelbagai program yang telah diatur sepanjang tahun.

"Saya mahu membentuk pergerakan puteri yang bukan hanya sebagai satu sayap parti dalam UMNO tetapi juga dilihat dekat di hati masyarakat melalui sentuhan gerak kerja," jelas beliau.

Mas Ermieyati turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan jentera siber Puteri UMNO kerana menyedari ia antara medium utama memberi penerangan mengenai sesuatu isu kepada kumpulan sasar.

Pergerakan tersebut tidak akan putus asa memberi latihan kepada jentera siber mereka dalam usaha mematahkan dakyah serta tohmahan pembangkang terhadap kerajaan amnya dan UMNO khususnya.

"Kami memang memberi penekanan serius untuk menangani 'perang' media siber ini. Kami mempunyai jentera sendiri tetapi berpendapat dalam isu ini penyelarasan harus dilaksanakan oleh semua sayap UMNO, bukan hanya Puteri sahaja supaya kesannya lebih efektif," katanya.

Apabila diajukan soalan mengenai pergerakan itu yang dilihat lesu di bawah kepimpinan beliau, Mas Ermieyati berharap pandangan itu dilihat daripada sudut positif.

Hakikatnya kata beliau, Puteri UMNO sentiasa ke hadapan dalam membantu rakyat, cuma kurang liputan media kerana berpendapat mereka perlu lebih banyak lagi belajar.

"Saya terima kritikan itu dan seperti saya katakan, barisan kepimpinan kali ini terdiri daripada 75 peratus muka baharu. Kami akui banyak perkara perlu dipertingkat serta diperkemaskan dan dari semasa ke semasa kami berusaha mengatasi kekurangan kami, lagi pun baru 100 hari saya jadi Ketua Puteri, masih banyak program belum dilaksanakan lagi," ujarnya.

Mas Ermieyati turut mengakui pergerakan di bawah pimpinannya tidak menonjol dalam memperjuangkan isu-isu semasa seperti kalimah Allah, kenaikan kos sara hidup dan sebagainya tetapi menafikan tiada tindakan diambil oleh pihaknya.

Sebaliknya, pergerakan tersebut lebih gemar mengadakan diskusi ilmiah dengan pihak-pihak terbabit dalam sesuatu isu.


© Utusan Melayu (M) Bhd

Read more...

MESYUARAT AJK PUTERI UMNO BIL.2, 2014. PEMBENTUKAN BIRO.

Sunday, February 2, 2014












Read more...

INFO PUTERI 1

Penubuhan Putri UMNO dipersetujui secara prinsip oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti pada 10 Julai 2000 bertujuan untuk menarik lebih ramai golongan wanita muda menyertai UMNO. Bagaimanapun tarikh 16 Oktober 2000 mencatat satu lagi sejarah bagi UMNO kerana Majlis Kerja Tertinggi bersetuju secara rasmi menubuhkan Puteri UMNO – satu lagi gerakan penting dalam parti.

INFO PUTERI 2

Dekad 90-an menyaksikan lebih ramai kumpulan wanita meminta untuk perubahan polisi dan tindakan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Di Malaysia Manifesto Wanita telah dilancarkan pada 1990, iaitu sebelum pilihanraya umum dengan tujuan untuk mendapatkan komitmen semua parti politik bagi mempertingkatkan taraf wanita di dalam arena kerja, undang-undang, keganasan terhadap wanita, pembangunan , kesihatan, korupsi dan hak-hak manusia. Beberapa kumpulan wanita di Malaysia telah menghasilkan “Agenda 11-Perkara” semasa Forum Badan Bukan Kerajaan Berkenaan wanita di Beijing. Ia kemudiannya disampaikan kepada kerajaan Malaysia.

INFO PUTERI 3

Perkembangan politik semasa di Malaysia telah memberikan dorongan dan kepentingan untuk menguatkan penglibatan wanita di dalam budaya, ekonomi dan politik. Oleh itu, agenda wanita untuk perubahan mencerminkan komitmen Puteri UMNO bagi memperolehi kesamarataan jantina dalam pembangunan.

  © Puteri UMNO P168 Kota Marudu by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP