Pindaan Perlembagaan
Tuesday, November 3, 2009
Puteri KM sangat berterima kasih kepada pucuk pimpinan kerana tampil dengan cadangan pindaan perlembagaan parti. Puteri KM yakin dan percaya, jika cadangan ini diterima dan diluluskan nanti, UMNO akan menjalani satu transformasi.
Puteri KM telah meneliti, dengan menjadikan Ketua Puteri Cawangan secara AUTOMATIK sebagai perwakilan ke bahagian, golongan muda akan membentuk satu angka yang signifikan dalam parti. Penglibatan golongan muda semakin meningkat! Paling penting, lebih ramai ahli yang terlibat dalam pemilihan jawatan, menjadikan UMNO adalah gambaran sebenar pemimpin yang dikehendaki rakyat. Ini adalah mustahak untuk membolehkan mereka lebih berperanan, mempunyai kuasa dan terlibat dalam struktur dan proses membuat keputusan.
Selain itu, pindaan bagi membolehkan ketua sayap cawangan boleh menandatangani borang untuk permohonan ahli baru, memudahkan lagi orang ramai untuk menjadi ahli UMNO. Usaha ini menjadikan UMNO tidak EKSKLUSIF untuk golongan tertentu sahaja.
Kesemua pindaan ini penting untuk membolehkan jangka hayat UMNO bertahan sebagai sebuah parti yang memenuhi aspirasi rakyat. Ini juga sangat relevan untuk memastikan kesinambungan UMNO sebagai sebuah parti yang menjiwai keperluan golongan muda.
Puteri Sekalian,
Inilah masanya untuk kita memperbaiki landasan perjuangan. Sebagai sayap yang mewakili generasi muda, inilah peluang untuk membuktikan peranan kita....peranan untuk merakyatkan UMNO dan mengakarumbikan UMNO.
Kita mesti sedar bahawa SINDROM SELESA hanya akan menjahanamkan parti. Justeru itu, kita harus bekerja keras tanpa mengenal erti penat dan jemu, kita tidak boleh berputus asa dan berpantang undur serta kita tidak boleh mengaku kalah dalam usaha menarik sokongan ahli-ahli baru di luar sana.
Inilah iltizam. Inilah keazaman yang ada pada setiap ahli puteri. Kita sama-sama bekerja keras demi menyelamatkan parti, demi menyelamatkan agama, bangsa dan negara.
Salam Perjuangan...
Sumber: Ucapan Dasar, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
0 comments:
Post a Comment