Puteri Menuntut Seorang Wakil Rakyat Daripada Parti UMNO Di Parlimen P.168 Kota Marudu Menjelang PRU Ke 13

Monday, July 26, 2010

Bismillahir Rahmanir Rahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Perjuangan & Salam 1 Malaysia.
YBhg., Pengerusi Tetap,
YBhg., Timbalan Pengerusi Tetap,
YBhg., Ketua Puteri UMNO Bahagian Kota Marudu, Pn. Redonah Bahanda,
Yang Dihormati, Pemerhati dari Pergerakan Puteri UMNO Negeri, Pn. Aziah Atoh, selaku Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Sepanggar juga Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sabah,
Yang Berusaha dan Dikasihi, Barisan AJK Puteri UMNO Bahagian, Ketua-ketua Puteri UMNO Cawangan,
Wakil daripada UMNO Bahagian,
Para Perwakilan dan Pemerhati yang dikasihi sekalian.

Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama merafakkan syukur setulusnya ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan izinnya, sekali lagi kita dapat berkumpul dalam Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Kota marudu pada pagi yang mulia ini untuk meneruskan kelangsungan perjuangan Pergerakan Puteri UMNO dan parti UMNO yang kita cintai. Puteri UMNO Bhagian Kota Marudu tetap teguh berdiri, bersama-sama Pergerakan Wanita dan Pemuda tanpa sedikitpun rasa gentar, akan meneruskan perjuangan, mengangkasa dan memperkasakan parti keramat ini. Semarak semangat perjuangan generasi muda dalam Puteri UMNO tidak pernah padam, biar diasak apa juga cabaran!

Sidang Perwakilan Yang Dihormati Sekalian,

Mesyuarat Puteri UMNO Bahagian Kota Marudu pada kali ini ingin membentangkan usul agar SATU KERUSI diberikan kepada Parti UMNO dalam Pilihan Raya Ke-13 akan datang. Puteri UMNO Bahagian Kota Marudu memohon agar pihak Perhubungan UMNO Negeri dan Pusat mengambil perhatian serius dan tindakan terhadap perkara ini. Dalam kempen pilihan raya lepas, penyandang kerusi parlimen Kota Marudu yang juga merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Y.B Datuk Seri Dr. Maximus J. Ongkili, dalam kempennya merayu agar pengundi memberikan peluang dan memilihnya untuk kali terakhir. Melalui pernyataan ini, jelas menggambarkan bahawa Y.B Datuk tidak lagi mempertahankan kerusinya pada pilihan raya akan datang.

Jika menyingkap dan menelusuri sejarah perjuangan dalam parti, UMNO Bahagian Kota Marudu telah membuktikan komitmen yang padu dan iltizam yang mantap dalam kemenangan majoriti yang telah dicapai oleh calon-calon Barisan Nasional yang semuanya dari Parti Bersatu Sabah (PBS) (DUN Matunggong: Y.B Sarapin Magana; DUN Tandek: YB Anita Baranting @ Lasiah dan Parlimen Kota Marudu: Y.B Datuk Seri Dr. Maximus J. Ongkili). Puteri UMNO Bahagian Kota Marudu yakin bahawa dengan keangkasaan dan keperkasaan parti umno sendiri dan sokongan serta komitmen daripada parti komponen, parti UMNO dalam Barisan Nasional juga akan memperolehi kemenangan yang manis, bergaya dan majoriti jika diberi mandat menjadi calon dalam pilihan raya yang akan datang.

Sidang Perwakilan yang dihormati,

Mari kita renungkan dan nilai bersama. Adakah selepas 9 tahun penubuhan puteri, kita mempunyai hala tuju yang benar-benar menyokong perjuangan parti kita? Adakah kita telah mainkan peranan sebagai jentera generasi muda yang prihatin terhadap perjuangan agama, bangsa dan negara? Cabaran yang ada di hadapan sangat getir. Kita mahu buktikan bahawa kita bukan sekadar boneka, tempelan, kekuatan yang ada pada kita bukan sekadar untuk merayu undi ketika pilihan raya, tetapi kita juga perlu dilibatkan dalam perkara yang membabitkan bab yang lebih penting dan besar. Seperti mana ucapan dasar, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Y. B Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO Malaysia pada tahun lepas:

“Jika mereka menjadi sayap, kita juga mesti terbang dengan sayap itu. Jika mereka menjadi tulang belakang, biarlah kita kekal menjadi tulang rusuk yang menjadi rasuk yang mengukuh. Rasuk pada tiang seri sebuah rumah yang kukuh berdiri tanpa sebatang paku pun. Kita bukan pesiang sayap lain, malah puteri adalah pengukuh dan penyokong”.

Saya yakin dan percaya, cabaran untuk merealisasikan pergerakan ini terus relevan adalah bertitik tolak dari puteri itu sendiri. Kita tidak perlu menunding jari. Kita tidak perlu menyenaraikan faktor luaran yang menyebabkan pergerakan kita lemah kerana segala puncanya adalah dari dalam pergerakan kita sendiri. Inilah masanya kita memperbaiki landasan perjuangan kita. Kita mesti melakukan perubahan, jika tidak, puteri akan rebah!

Sidang Perwakilan Yang dimuliakan,

Tanggung jawab kita hakikatnya tidak mudah digalas. Tanggung jawab kita amat besar. Pengajaran Mac 2008 dan siri kekalahan dalam 7 pilihan raya kecil selepasnya, perlu kita kongsikan beban dan belajar daripada tragedi itu. Kita mesti akui, sebahagian daripada punca kemorosotan prestasi kita disebabkan oleh kegagalan kita untuk mendapatkan keyakinan golongan muda. Kita gagal untuk memastikan golongan muda supaya memihak kepada kita. Sedangkan lebih 40% pengundi adalah dalam kalangan usia kita. Ini bukan satu pencapaian yang baik dalam sejarah perjuangan parti. Kita harus bangkit kembali menggunakan segala kekuatan yang ada pada kita untuk meraih sokongan rakyat kepada parti. Kita juga tidak akan berputus asa meraih sokongan pengundi sekalipun terpaksa berjalan di taman perumahan, menyusur kesibukan kota, berdayung hingga ke hulu sungai, mendaki ke puncak gunung, meredah semak dan belantara, Puteri Tidak Akan Berhenti!!!! Marilah kita bersama-sama melipatgandakan usaha yang sedia ada untuk terus memenangi hati pengundi.

Di samping itu, puteri mesti bergerak aktif mencari ahli dan pengundi baru. Jika SPR mengakui PAS dan DAP paling aktif mencari pengundi baru, maka puteri juga mesti bertindak agresif untuk mencapai matlamat itu. Masa kita tidak panjang, sehari kita bertangguh, mungkin kita terlepas berpuluh ahli baru. Sebagai sayap yang mewaklili generasi muda, inilah peluang untuk membuktikan peranan kita. Peranan untuk memasyarakatkan, merakyatkan dan mengakarumbikan UMNO.

Sidang Perwakilan Yang Dihormati Sekalian,
Sayangi Parti, Dekati Rakyat. Puteri UMNO perlu sayangi parti, mendekati hati rakyat sepanjang masa dan kembali kepada semangat jati diri, berjuang dengan gigih supaya parti ini terus disegani dan mendapat tempat di hati rakyat. Sebagai mana saranan Presiden UMNO, YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam majlis sambutan ulang tahun ke-64 UMNO di PWTC bulan lepas:

“untuk menjadi pemimpin yang dekat di hati rakyat, para pemimpin UMNO perlu sentiasa berusaha dan membuat program-program sepanjang masa dan bukannya turun padang hanya pada musim-musim pilihan raya sahaja. Untuk sentiasa menjadi pemimpin yang dekat di hati rakyat, buatlah usaha, program sepanjang masa, sepanjang zaman bukan dekat pilihan raya baru ke hulu ke hilir siapkan data peribadi”.

Selaku pemimpin, Puteri UMNO hendaklah menanamkan nilai dan mempraktiskan dalam diri sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat, bukannya mendampingi mereka secara bermusim. Politik bukan wadah untuk kita mengejar kuasa dan wang ringgit, tetapi keutamaan harus diletakkan kepada perjuangan membela nasib bangsa dan rakyat jelata.
Sidang Perwakilan Yang Dimuliakan,

Teruskan obor perjuangan untuk bersatu dalam satu pasukan demi menjayakan hasrat parti. Teruskan berusaha dan berdoa agar langkah kita melakar kegemilangan demi agama, bangsa dan negara terus terlaksana. Laungan perjuangan UMNO sebagai pembela nasib rakyat akan terus bersemarak dan bergema dalam dewan ini. Patah sayap bertongkat paruh, gunung nak didaki, didaki jua.

Semoga Puteri UMNO terus berwibawa dalam menggarap satu perjuangan, mengukuhkan puteri dan menjulang parti.

Puteri...khidmat bakti mu amat diperlukan. Puteri...jasa pengorbanan mu menjadi taruhan. Puteri...gerakkan lah barisan. Puteri maruah negara, bangsa dan agamamu menjadi ihsan pada sebuah nama perjuangan. Puteri...jangan gadaikan semua itu atas nama jawatan dan gelaran. Puteri... hanya ALLAH yang membalas setitis keringatmu yang gugur atas nama perjuangan. Puteri... majulah, berjuanglah...INSYALLAH Puteri, kau kan megah di persada barisan.

Sekian, wabillah hi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum wrt. Wbt.

*Usul ini telah dibentangkan dalam Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Kota Marudu pada 19 Jun 2010 (Sabtu)bertempat di Hotel Hexan, Kota Marudu.

0 comments:

INFO PUTERI 1

Penubuhan Putri UMNO dipersetujui secara prinsip oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti pada 10 Julai 2000 bertujuan untuk menarik lebih ramai golongan wanita muda menyertai UMNO. Bagaimanapun tarikh 16 Oktober 2000 mencatat satu lagi sejarah bagi UMNO kerana Majlis Kerja Tertinggi bersetuju secara rasmi menubuhkan Puteri UMNO – satu lagi gerakan penting dalam parti.

INFO PUTERI 2

Dekad 90-an menyaksikan lebih ramai kumpulan wanita meminta untuk perubahan polisi dan tindakan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Di Malaysia Manifesto Wanita telah dilancarkan pada 1990, iaitu sebelum pilihanraya umum dengan tujuan untuk mendapatkan komitmen semua parti politik bagi mempertingkatkan taraf wanita di dalam arena kerja, undang-undang, keganasan terhadap wanita, pembangunan , kesihatan, korupsi dan hak-hak manusia. Beberapa kumpulan wanita di Malaysia telah menghasilkan “Agenda 11-Perkara” semasa Forum Badan Bukan Kerajaan Berkenaan wanita di Beijing. Ia kemudiannya disampaikan kepada kerajaan Malaysia.

INFO PUTERI 3

Perkembangan politik semasa di Malaysia telah memberikan dorongan dan kepentingan untuk menguatkan penglibatan wanita di dalam budaya, ekonomi dan politik. Oleh itu, agenda wanita untuk perubahan mencerminkan komitmen Puteri UMNO bagi memperolehi kesamarataan jantina dalam pembangunan.

  © Puteri UMNO P168 Kota Marudu by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP